Friday, July 17, 2009

BENGKEL NASYID MENARIK ARTIS TERKEMUKA MESIR-MALAYSIA


KAHERAH, 16 JULAI - Nasyid adalah salah satu wasilah dakwah untuk menyampaikan Islam. Ia juga menjadi salah satu kaedah seorang pendakwah untuk menyampaikan dakwahnya. Justeru, pada hari ini, Unit Latihan dan Kepimpinan sekali lagi menganjurkan Program Pemantapan DUAT (PEMANDU).

Kali ini, PEMANDU menyajikan bengkel nasyid untuk ahli-ahli KPIPM. Bengkel Nasyid ini dimulakan dengan bengkel bagi akhawat, iaitu pada jam 5.30 petang. Tenaga pengisi bengkel nasyid bagi akhawat ini ialah Kumpulan Nasyid as Sohwah, PMRAM. Bengkel Nasyid bagi akhawat tamat sebelum azan Solat Maghrib.

Selepas Solat Fardhu Maghrib, bacaan Yasin dan tazkirah dijalankan seperti biasa. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zulfadhli bin Zainal.

Setelah selesai Solat Fardhu Isya', ketibaan empat orang artis. Mereka yang dijemput ialah ahli kumpulan al Wadi yang diwakili oleh Ustaz Haitham dari Perlis dan Ustaz Nasir dari Pahang. Manakala kumpulan UNIC diwakili oleh Bazli, dan kumpulan Zulfan diwakili oleh Ustaz Jamaluddin.

Program dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Arifsyah bin Abdullah Sani. Ia dimulakan dengan ucapan Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil. Kemudian, majlis diserahkan sepenuhnya kepada keempat-empat orang artis ini.

Antara slot yang disampaikan ialah beberapa kaedah suara, dan seni nasyid telah disampaikan oleh keempat-empat orang artis ini. Program tamat pada 12.10 minit malam.