Wednesday, July 22, 2009

BAHANG PROGRAM PERKAMPUNGAN TOK SAGOR 09 MASIH BELUM HILANG


KAHERAH, 22 JULAI - Perkampungan Tok Sagor yang diadakan selama 4 hari, berakhir semalam dengan sambutan Majlis Perasmian Penutup yang disempurnakan oleh Us Khalil bin Yahaya, selaku Anggota Badan Penasihat KPIPM.

Program Perkampungan Tok Sagor ini telah bermula pada 17 Julai, dengan diserikan dengan Majlis Perasmian yang disempurnakan oleh Ustaz Nik Rosdi bin Nik Jusoh, Naib Presiden II, Lajnah Muhafazah, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir 2009.

Keesokan harinya, iaitu pada hari Sabtu, telah berlangsung acara padang bagi ikhwah, dan acara dewan bagi akhawat. Antara acara menarik bagi ikhwah ialah perlawanan bola sepak, sukaneka, tarik tali dan sebagainya. Acara bagi ikhwah telah berlangsung di Nadi Syabab Haiyu Asyir, dan selesai pada jam 5.10 petang. Acara bola sepak turut disertai pasukan jemputan dari Majlis Kebajikan Keluarga Kedah (MKKK).

Manakala bagi akhawat pula, acara berlangsung di Rumah Perak Sementara dengan acara-acara yang menarik, antaranya, pertandingan diskusi kitab, penghasilan slide, pantun, kuiz dan sebagainya. Pada sebelah malam, akhawat diserikan lagi dengan Talk Show yang bertajuk “Aku Dilamar Cintanya”.

Pada hari ketiga, Ahad, acara yang berlangsung ialah acara dewan bagi ikhwah, dan acara padang bagi akhawat. Acara Dewan bagi ikhwah telah dilangsungkan di Rumah Perak Sementara dengan pelbagai acara menarik, antaranya ialah debat ala parlimen, kuiz, pantun, sajak dan sebagainya. Pada sebelah malam, ikhwah diserikan lagi dengan pertandingan dakwah kreatif.

Manakala acara akhawat pula diadakan di padang, di Hadiqah Atfal Haiyu Thamin, dengan beberapa acara menarik antaranya ialah bola jaring, sukaneka dan sebagainya. Acara padang akhawat selesai pada jam 2 petang.

Pada hari keempat, iaitu hari Isnin, program diserikan lagi dengan program ilmiah. Pada sebelah pagi ikhwah bersama-sama berentap dalam acara Win, Lose or Draw, manakala akhawat pula diserikan dengan pertandingan dakwah kreatif.

Pada jam 12 pagi, telah berlangsung diskusi kitab oleh Ustaz Rohimuddin bin Nawawi, dengan kitabnya yang bertajuk “Cinta Di Ambang Perkahwinan”. Diskusi selesai pada jam 2.10 petang. Setelah selesai Solat Zohor, program ditambah lagi dengan Dialog Prosedur Perkahwinan Di Malaysia bersama wakil Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, iaitu Ustaz Harith Fadhilah bin Abdul Halim dan Ustaz Sufian bin Abdul Latif.

Pada sebelah petang, acara ikhwah disambung lagi dengan Tebar Roti Canai dan The Tarik. Manakala akhawat pula sedang berlangsung acara pantun peringkat akhir.

Pada sebelah malamnya, telah diadakan Majlis Perasmian Penutup, dan ia diserikan dengan tayangan slide dan persembahan sajak dan dakwah kreatif bagi kumpulan yang menang. Agenda utama pada malam itu ialah penyampaian hadiah kepada pemenang. Majlis Perasmian tamat pada jam 10.50 malam.

Beberapa VIP yang turut hadir pada malam itu ialah Badan Pengurus angkat, Ustaz Nik Rosdi bin Nik Jusoh dan beberapa orang Badan Pengurus PMRAM yang lain dan wakil Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

Yang Dipertua, Ustaz Muhammad Mujahid mengucapkan terima kasih atas beberapa bentuk kerjasama terutamanya yang diberikan oleh MKKK sempena program ini. MKKK telah menyediakan dua syaqah untuk penempatan akhawat Perak yang tinggal di muhafazah. Begitu juga dengan Badan Pengurus PMRAM yang turut hadir di sepanjang program.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Us Rohimuddin, wakil MAIAMPk dan beberapa orang tetamu dan pengisi jemputan kerana sudi menjayakan program seperti ini. Tidak lupa juga kepada Adhoc Pelaksana yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini.