Thursday, August 20, 2009

MESYUARAT TAHUNAN HEWI KALI KE 22 DAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KALI KE 43


KAHERAH, 19 OGOS - Mesyuarat Agung Tahunan KPIPM kali ke 43 telah digabungkan dengan Mesyuarat Tahunan HEWI sepertimana yang telah biasa dilakukan.

Pada tahun ini, Mesyuarat Tahunan HEWI kali ke 22 telah diadakan pada 18 Ogos, manakala Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah diadakan pada keesokan harinya.

Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah bermula seawal jam 8 pagi sepertimana yang telah tertera di dalam surat panggilan. Namun, mesyuarat masih belum dapat dijalankan kerana menunggu bilangan ahli sidang mencukupi korum yang telah ditetapkan.

Ahli KPIPM yang masih berada di Mesir ketika ini adalah seramai 409 orang. Oleh itu korum untuk mencukupi bilangan satu perdua ialah 205 orang.

Namun, pada jam 8.40 pagi, ahli sidang yang hadir telah mencadangkan supaya Mesyuarat Agung Tahunan dimulakan dengan bilangan korum seramai seperempat ahli. Cadangan tersedbut telah disokong sepertimana yang telah disebut di dalam perlembagaan sendiri.

Mesyuarat dimulakan pada jam 9 pagi dengan bilangan ahli sidang seramai 115 orang ketika itu.

Pada permulaannya, mesyuarat telah dikendalikan oleh Yang Dipertua sendiri bagi melantik Pengerusi dan Setiuasaha Sidang, dan pengira undi.

Mesyuarat pada sebelah pagi telah dikendalikan oleh Ustaz Khairul Azri manakala sebelah petang dikendalikan oleh Ustaz Azizuddin bin Abdullah.

Pada sesi pagi, mesyuarat dimulakan dengan pembentangan minit mesyuarat oleh Timbalan Setiuasaha Agung, dan telah dicadangkan dan disahkan oleh ahli sidang pada jam 9.21 pagi.

Program diteruskan lagi dengan perkara-perkara berbangkit dan pembentangan laporan aktiviti tahunan setiap jabatan dan biro.

Pada jam 10.40 pagi, ahli sidang mencadangkan supaya mesyuarat ditangguhkan bagi menikmati sarapan pagi.

Program diteruskan lagi pada jam 11 pagi dengan pembentangan laporan aktiviti tahunan setiap jabatan dan biro sehingga jam 12.35 tengahari.

Mesyuarat ditangguhkan sekali lagi kerana memberi laluan makan tengahari dan solat fardhu Zohor.

Program disambung kembali dengan pembentangan laporan kewangan pada jam 1.30 petang. Laporan kewangan telah dibentangkan oleh Bendahari Kehormat, Ustaz Muhammad Amin bin Abd Rahman.

Pada jam 2.10 minit petang, mesyuarat diteruskan lagi dengan pembentangan usul bertulis oleh Ustaz Fareez Izhar bin Zainuddin tentang pindaan perlembagaan. Usul ini telah disokong oleh Ustaz Ahmad Faisal bin Mehamod.

Usul bertulis kedua pula tentang menolak anasir perpecahan dan pemerkasaaan biah solehah yang telah dibentangkan oleh Ustaz Khairul Asyraf bin Muhammad Khir. Usul ini telah disokong dengan usul tergempar yang dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Aminuddin, dan beberapa ahli sidang yang lain.

Ia diteruskan lagi dengan pembentangan usul tergempar yang meminta supaya dibenarkan menggunakan komputer dan internet di dalam bilik-bilik. Usul ini telah dibentangkan oleh Ustaz Muhammad Saiful Ammar bin Ismail.

Usul tergempar ini telah diadakan undian, dan majoriti ahli sidang tidak bersetuju dengan usul tergempar ini.

Program ditangguhkan pada 5.24 petang bagi memberi ruang kepada ahli sidang mendirikan solat fardhu Asar.

Pada jam 5.56 petang, mesyuarat diteruskan lagi dengan membuka ruang untuk cadangan dari semua ahli sidang untuk meningkatkan prestasi KPIPM. Terdapat 19 cadangan lisan yang telah dikemukakan dan dua cadangan bertulis yang telah diterima di dalam mesyuarat kali ini.

Mesyuarat diteruskan lagi dengan pelantikan 2 orang pemeriksa kira-kira bagi sesi 2009/2010. Pemeriksa kira-kira yang telah dilantik ialah Ustaz Mohamad Azizuddin bin Aznan dan Ustaz Khairul Jamal.

Mesyuarat diteruskan lagi dengan ucapan setiap AJKT dan barisan penasihat. Seterusnya ucapan penangguhan yang telah disampaikan oleh Yang Dipertua KPIPM, Ustaz Muhammad Mujahid bin Mohammad Fadzil, dan membubarkan kepimpinan sesi 2008/2009.

Majlis telah diserahkan sepenuhnya dibawah kendalian Ahli Jawatankuasa Khas Pilihanraya bagi membentangkan keputusan pilihanraya.

Setalah selesai Solat Fardhu Maghrib, Pengarah AJKKPR, Ustaz Muhamad Ibrahim bin Mansor telah mengumumkan seramai 8 calon AJKT yang telah memenangi pilihanraya tersebut.

Mereka ialah Muhammad Firdaus bin Aznan, Mohd Zahid bin Abu Bakar, Muhd Syazwan bin Khalid, Muhd Ridhwan bin Othman, Muhammad Hafizuddin bin Zakariya, Mohd Aliff Hadi bin Mohd Razi Ibnu Abbas bin Azizuddin dan Mohammad Omar bin Adam.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada mereka yang menang dalam pilihanraya ini, dan mengumumkan bahawa bilangan pengundi seramai 230 orang, yang merupakan bilangan teramai setakat ini.

Manakala Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 43 telah dihadiri seramai 221 sepertimana yang telah tercatat di dalam buku kehadiran MAT.